- Depan
- Tampilkan Konten
Al-Hawi As Shoghir
Al-Hawi As Shoghir
(الحاوي الصغير)
merupakan sebuah kitab fiqh yang menjadi rujukan para ulama dalam mazhab al-Syafi’i. Kitab ini adalah sebuah karya Imam Najmuddin Abdul Gaffar bin Abdul Karim al-Qazwaini al-Syafi’i (585-665H).
Kitab al-Hawi al-Shaghir ini merupakan ringkasan bagi kitab Fath al-‘Aziz atau al-Syarh al-Kabir karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi-‘iy al-Qazwaini (624H). Manakala Kitab al-Hawi al-Shaghir ini telah diringkaskan lagi oleh ulama yang terkemudian, iaitu;
1. Ibn al-Wardi, Zaynuddin Abu Hafsh ‘Umar bin al-Muzaffar bin ‘Umar al-bin al-Wardi Mu’arri al-Kindi (749H) dengan kitabnya al-Bahjah al-Wardiyyah , iaitu ringkasan dalam bentuk nazam.
2. Ibn al-Muqri’ Ismail bin Abu Bakr bin Abdullah al-Muqri al-Zabidi al-Yamani (837H), dengan kitabnya al-Irsyad.
Kitab al-Bahjah al-Wardiyyah kemudiannya telah disyarah oleh Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariya al-Anshari (823-926H) dengan kitabnya al-Ghurar al-Bahiyyah Syarh al-Bahjah.
Manakala kitab al-Irsyad tersebut telah disyarah sendiri oleh Ibn al-Muqri’ melalui kitabnya al-Ikhlash al-Nawiy fi Syarh al-Irsyad al-Ghawi. Kemudiannya Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (973H) juga menghasilkan karyanya al-Imdad fi Syarh al-Irsyad sebagai syarah bagi kitab al-Irsyad tersebut.
Di samping itu, Ibn Hajar al-Haytami juga ada membuat komentar bagi kitab al-Ikhlash al-Nawiy karya Ibn al-Muqri’ di atas dengan kitabnya Fath al-Jawad fi Syarh al-Ikhlash.
Untuk membaca kitab al-Hawi al-Shaghir ini, pembaca boleh memuat turun kitab ini dalam bentuk file PDF di pautan الحاوي الصغير. Kitab ini merupakan kitab yang dicopy dari edisi yang ditahkik oleh Dr. Shalih bin Muhammad bin Ibrahim, iaitu asalnya sebuah karya ilmiah yang dihasilkan untuk mendapatkan Ijazah PhD. Kitab ini telah dicetak oleh Dar Ibn al-Jawzi pada tahun 1430H.
Semoga bermanfaat.



- Komentar (0)
Maaf Tidak Ada...Beri Komentar